Sabtu, Januari 12, 2013

coretan ringkas tentang kahwin dua


Assalamualaikum…

Sudah lama blog ini dibiarkan. Rasanya hampir setahun. Sekiranya barang fizikal tentu sudah ditambuni debu dan dilingkari sarang labah labah. Sebenarnya banyak jugak yang ingin ditulis. Mungkin sebanyak peristiwa yang berlalu. Namun apakan daya. Keinginan tanpa dorongan ilahi, keinginan tinggal keinginan. Hari ini saya ingin dengan mula menulis. Agak-agaknya dorongan itu mula terbit. Kita mulakan dengan coretan ringan.

Semalam kami sekeluarga (keluarga mertua) diziarahi oleh serombongan kerabat sendiri. Kerana ingin lihat anak buah baru. Anak saya yang kedua. Hendak dijadikan cerita, salah seorang rombongan tersebut baru sahaja jadi isteri pertama. Maksudnya suami dia baru kahwin lain. Sebaik punggung labuh di lantai, topik si lelaki gatal dan ‘kekejamannya’ dibuka tirai. Apakah lagi ada rakan ‘senasib’ di kalangan keluarga kami turut hadir. Mulalah satu lagi episod drama yang sebelum ini saya hanya dengar-dengar, kali ini saya lihat secara live. Ia episod bercampur baur sebagaimana reaksi saya juga macam macam. Ia agak membosankan dan menarik pada waktu yang sama. Membosankan kerana inti patinya sama. Saya pernah dengar hujah dan alasan itu. Kali ini diulangi lagi. Menarik pula kerana penyampaian yang bersemangat dan penuh perasaan. Mampu menggugat jiwa. Drama ini berakhir dekat dua pagi. Tak apalah, keluarga punya hal saya setia mendengar.

Ada beberapa kesimpulan yang saya boleh kongsikan di sini. Ia pandangan peribadi saya. Dari sudut seorang lelaki. Rasanya orang perempuan tak akan terima. Tak terima tak ada hal.

1.      Semua perbincangan didasari oleh perasaan dan sentimen. Walaupun sebahagian besar hujah kenapa tak boleh kahwin dua nampak berlapikkan agama, tapi perasaan telah menguasai pertimbangan akal dan agama. Jika nak bincang satu persatu rasanya keluar maksud coretan ringan. Cukuplah saya katakan, kahwin dua dibenarkan agama dengan jelas. Apa yang berlaku sebenarnya antara nak dan tak nak. Si suami nak kahwin satu lagi. Si isteri tak nak suaminya kahwin lain. Tapi kalau setakat tu tak seronok. Tak seronok kalau nak lawan. Lawan pun tak puas hati. Baik tambah benda lain lagi. Boleh soal balas. Boleh jawab balas. Akhirnya keluar statement pelik bin ajaib. “ takdir apa!? Hang duk gatal! Kalau tak cari tak jadi! ” “ ooo... sunah tu nak buat sangat!! Sunat-sunat lain banyak lagi kenapa tak buat?! ”. seolah-olah takdir hanya berlaku secara kebetulan. Kalau dah didahului usaha, bukan takdir namanya. Seorang pelajar berusaha kemudian berjaya cemerlang. Itu bukan takdir. Yang dinamakan takdir, pelajar yang malas hangit tiba-tiba result cemerlang. Ni boleh buat definisi qada dan qadar baru. Saya tak pasti, adakah itu pegangan orang melayu atau kenyataan luar kawalan. Masalah sunat pulak, mana ada kaedah; samada buat semua sunat atau tinggal semua sunat. Nak solat sunat dhuha kena buat solat sunat witir. Camtu ke? Rasanya tuan yang bercakap pun buat begitu jugak. Tapi perasaan telah menguasai. Tak setuju pada perkara yang tidak dilarang susah nak bukak mulut. Kalau bukak pun tak ada modal. Akhirnya, semua perkara disentuh termasuk agama. Dengan berlapik-lapik. Nak kata tak setuju sahaja tak puas hati.

2.      Pada saya, masalah yang berlaku senang jalan keluarnya. Apabila dah dimadukan, si isteri ada dua pilihan. Kekal sebagai isteri atau dah tak nak. Jika kekal alhamdulillah. Orang kata dapat payung emas. Entah betul ke tidak saya tak pasti. Jika tidak, maka ada dua keadaan. Suami setuju melepaskan atau tidak setuju. Jika suami setuju maka bercerai. Jika tidak si isteri boleh ke mahkamah minta fasakh. Senangkan? Tapi tak seronok sebab tak ada lawan-lawan. Filem kalau inilah jalan ceritanya konfim tak laku.

3.      Si isteri rasa tertinggir. Rasa dibuang suami. Suami dah tak mahu dia. Itu perasaan yang menyelubungi dia. Inilah punca kekecohan yang berlaku. Bukan salah siapa. Bukan salah suami. Bukan salah isteri. Hanya salah faham. Tapi mungkin benar, ada suami kahwin lain kerana buang isteri sebelumnya. Cuma bukan semua lelaki begitu. Bahkan sebahagian besar bukan begitu. Mereka kahwin bukan kerana nak buang. Hanya ingin tambah. Jika nak buang senang. Lafaz talak dan selesai pembuangan. Hakikatnya, mereka ingin semuanya kekal. Perhatilah. Mereka jarang sekali setuju dengan permintaan cerai.

4.      Alasan kerap menjadi arang menyemarakkan keadaan. Banyak cakap juga begitu. Perkara tidak dilarang sepatutnya tidak memerlukan sebarang alasan jika ingin dilakukan. Hanya buat dan full stop. Jika pun benar-benar ada sebab, jangan dicurahkan depan isteri. Kadang-kadang diam lebih baik walaupun terhadap perkara benar. Salah seorang guru hadis saya menyarankan agar meniru reaksi Nabi Muhammad saw terhadap reaksi isteri-isterinya antara satu sama lain. Baginda banyak berdiam diri bila berhadapan dengan perasaan cemburu. Apabila salah seorang isteri baginda cemburu sehingga memecah pinggang madunya di hadapan sahabat Nabi dan baginda sendiri, baginda hanya komen; ibu kamu telah cemburu!. Rasanya kalau kitalah, isteri buat begitu depan tetamu entah perkataan apa yang keluar. Mungkin keluar kaki tangan sekali. Jadi, banyak diam. Kurangkan berbalas jawapan. Mungkin suasana akan tenang sedikit.

5.      Keluarga dan orang terdekat begitu penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah istana perkahwinan. Dalam situasi sebegini terutama di awal kejadian, tindakan isteri mahupun suami bergantung kepada cakap-cakap orang sekelilingnya. Jadi, janganlah orang lain pulak yang lebih ber’perasaan’. Sepatutnya mereka lebih waras dan terkawal. Kewarasan dan kawalan penting untuk mengambil keputusan selanjutnya. Kalau silap langkah, salah seorang keluarga tersebut menjadi malang. Itu pun kalau tak kesemuanya. Dia pula rileks sahaja. Yerlah, dia hanya bagi air liur. Orang lain yang ditimpa musibah selepas musibah.

Rasanya itu sahaja setakat ini. Ada lagi tapi saya pendam dalam diri. Apabila episod malam tadi selesai, isteri saya mula mengorak langkah. Katanya “ abang jangan cari pasal macam tu jugak! ”. saya cuba bagi pandangan, tapi apakan daya. Yang saya terima “ elah, orang lelaki semua macam tu…alasan!! ”