Sabtu, Januari 23, 2010

isu sanad dalam qira'at dan hadis


semalam sebelum kelas, saya berkesempatan berbual-bual dengan orang 'atasan' dari jabatan al quran dan al sunnah. banyak topik yang disentuh. berbual dengannya mengingatkan saya kepada salah seorang rakan di mesir -rasanya dia masih lagi di sana- yang suka menyentuh isu-isu yang berkaitan dengan fiqh dan bahasa arab. kadang kala pasal hadis.

bermula dari isu taujih qira'at, rasam al quran dan taujihnya sehingga berakhir dengan topik pertikaian mutawatir dalam sanad qira'at. di penghujung perbincangan, kami sampai kepada satu hipotesis, cara ulama qira'at dalam masalah sanad ada perbezaan dengan rentak ulama hadis. siap sekali dengan tajuk buku atau artikel: qira'at dan hadis: analisis menurut ilmu mustalah(perbezaan dan persamaan) :-)

setelah selesai kelas, saya cuba-cuba search dalam internet dan syamilah berkenaan dengan isu tersebut. ada satu tajuk yang mungkin boleh diketengahkan sebagai permulaan dalam mengenali isu seputarnya.

untuk melihat persamaan dalam qira'at dan hadis, rasanya tidaklah sukar kerana keduanya berasaskan kepada tapak yang sama, iaitu sanad. walaupun ada ulama yang menyebut, asas dalam penerimaan sesuatu qira'at ada tiga: sanad, rasam dan bahasa arab. tetapi menurut muhaqqiqin dalam ilmu qira'at, sanad adalah asas. jika sanadnya mencapai darjah yang dikehendaki maka ia terus diterima. rasam dan bahasa arab hanyalah sekunder. sanad adalah segalanya.

mencari perbezaan mungkin sukar dan jarang. jesteru, saya ingin menengahkan satu isu yang menjadi pertikaian antara kedua-dua entiti ini. isu tersebut ialah bertakbir di antara surah al duha hingga akhir ketika khatam. dalam isu ini ada beberapa perbezaan yang menunjanginya.

ia bermula dengan hangatnya apabila syeikhul islam ibnu taimiyyah menyebut dalam majmu' fatawanya. kata beliau (j17 ms130):

وَالتَّكْبِيرُ الْمَأْثُورُ عَنْ ابْنِ كَثِيرٍ لَيْسَ هُوَ مُسْنَدًا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يُسْنِدْهُ أَحَدٌ إلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إلَّا البزي وَخَالَفَ بِذَلِكَ سَائِرَ مَنْ نَقَلَهُ فَإِنَّهُمْ إنَّمَا نَقَلُوهُ اخْتِيَارًا مِمَّنْ هُوَ دُونَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَانْفَرَدَ هُوَ بِرَفْعِهِ وَضَعْفِهِ نَقَلَهُ أَهْلُ الْعِلْمِ بِالْحَدِيثِ وَالرِّجَالِ مِنْ عُلَمَاءِ الْقِرَاءَةِ وَعُلَمَاءِ الْحَدِيثِ كَمَا ذَكَرَ ذَلِكَ غَيْرُ وَاحِدٍ مِنْ الْعُلَمَاءِ

"dan takbir yang dinukilkan dari ibnu kathir tidak bersandarkan dari nabi s.a.w. ia tidak disandarkan oleh seorang pun kepada nabi s.a.w kecuali al bazzi dan ia berbeza dengan semua yang menukilkannya(takbir). sesungguhnya mereka menukilkannya secara pilihan daripada orang yang selepas nabi s.a.w. al bazzi sahaja yang menaikkan kepada nabi, dan didaifkan nukilannya oleh ilmuan hadis dan rijal dari ulama qira'at dan ulama hadis sepertimana yang disebut oleh bukan seorang dari ulama."

beliau juga ada menyebut dengan nada yang agak keras:

"apabila mereka membaca bukan dengan qira'at ibnu kathir, meninggalkan takbir adalah lebih baik bahkan ia disyariatkan dan disunatkan. sesungguhnya imam-imam dari kalangan qurra' tidak bertakbir pada awal surah dan akhir surah....

barangsiapa yang mengatakan takbir daripada al quran, maka dia adalah sesat dengan sepakatan ulama. wajib diminta supaya bertaubat. jika tidak dia dibunuh....barangsiapa yang meletakkan orang yang meninggalkan takbir sebagai ahli bid'ah atau menyalahi sunnah atau berdosa, sesungguhnya dia dekat kepada kufur berbanding islam dan wajib mengenakan hukuman ke atasnya. bahkan, sekiranya dia masih bertegas selepas diberi hujjah yang jelas, wajib dibunuh." (j13 ms419)

isu ini timbul apabila ramai ahli quran yang bertakbir apabila sampai khatam quran, dicelah-celah surah bermula dari surah al duha hingga akhir quran. apabila disemak hadis yang berkaitan, mereka tidak menjumpai satu hadis dari nabi mengenainya, kecuali beberapa hadis yang kesemuanya berlegar pada riwayat abu al hasan ahmad bin muhammad bin abdullah al bazzi. tetapi al bazzi ini di sisi ulama rijal seperti abu hatim al razi, al 'uqaili dan diikuti oleh al zahabi sebagai daif.

daripada kata-kata ibnu taimiyyah, kita mendapati seolah-olah amalan ini merupakan pilihan para qurra atau dengan kata lain, ijtihad mereka. begitu juga kata ibnu uthaimin dalam fatawa islamiyah. bahkan dengan jelas dia berkata: yang benar, ia bukan sunnah.

hadis al bazzi ini terdapat dalam mustadrak al hakim dengan lafaz:

"حدثنا أبو يحيى محمد بن عبد الله بن محمد بن عبد الله بن يزيد ، المقرئ الإمام بمكة في المسجد الحرام ، ثنا أبو عبد الله محمد بن علي بن زيد الصائغ ، ثنا أحمد بن محمد بن القاسم بن أبي بزة ، قال : سمعت عكرمة بن سليمان ، يقول : قرأت على إسماعيل بن عبد الله بن قسطنطين ، فلما بلغت والضحى ، قال لي : « كبر كبر عند خاتمة كل سورة ، حتى تختم » وأخبره عبد الله بن كثير أنه قرأ على مجاهد فأمره بذلك ، وأخبره مجاهد ، أن ابن عباس أمره بذلك ، وأخبره ابن عباس ، أن أبي بن كعب أمره بذلك وأخبره أبي بن كعب أن النبي (صلى الله عليه وسلم أمره بذلك  (هذا حديث صحيح الإسناد ، ولم يخرجاه

ibnu abi bazzah ialah imam al bazzi. hadis yang sama diriwayatkan oleh al fakihi dalam akhbar makkah (no. 1744), imam al baihaqi dalam syu'abil iman (no. 1913,1914) imam al baghawi dalam tafsirnya (j8 ms460).

selain ibnu taimiyyah, kedapatan beberapa ulama lain yang mengdaifkan hadis ini. antaranya al zahabi dalam al siyar (j12 ms51) dengan katanya: ia hadis mungkar. ibnu kathir dalam tafsirnya juga telah berkata: ini adalah sunnah yang ada pada abu al hasan ahmad bin muhammad bin abdullah al bazzi sahaja dari anak al qasim ibnu abi bazzah.

semua yang bercakap menentang amalan ini bersandarkan kepada hadis al bazzi. seperti ibnu taimiyyah, bakar abu zaid dalam (مرويات دعاء ختم القرآن), ibnu muflih dalam (الآداب الشرعية), ibnu uthaimin dalam fatawa islamiyah dll.

namun begitu, perlu dijelaskan bahawa al bazzi walaupun daif dalam hadis tapi beliau merupakan hujjah dalam qira'at. ini sepertimana yang dijelaskan oleh ibnu muflih, al safayini dan zarakli. bahkan disifatkan oleh al zahabi dalam al 'ibar: (al bazzi) adalah lemah dalam hadis hujjah dalam al quran. kata al zahabi lagi dalam mizan 'itidal (j1 ms144) dan ibnu hajar dalam lisan mizan: imam dalam qira'at thabat dalamnya.

dari sini kita melihat perbezaan yang wujud dalam sanad qira'at dan hadis. penyataan ulama di atas walaupun tidak menyebelahi al bazzi, tapi beliau dalam qira'at adalah thiqah. sanad yang diriwayatkan oleh para qurra' dalam masalah bertakbir, disisi mereka cukup masyhur dan juga sahih pada pandangan mereka. amalan bertakbir adalah thabit dan digunapakai, bahkan dalam al nasyr ia bukan sahaja di sisi ibnu kathir bahkan semua qurra'. ia telah diwarisi dari satu generasi ke generasi secara talaqqi.

disini kita perlu membezakan antara sanad para qurra' dan sanad para ahli hadis. dengan perkataan yang lebih mudah dan straight to the point, sanad al bazzi ini diterima kerana ia berkaitan dengan al quran yang menjadi kepakarannya. jika dalam hadis, beliau mungkin boleh dipertikaikan seperti riwayatnya dalam hadis أكثروا ذكر هاذم اللذات dan الديك الأبيض(al mizan j1 ms144). rujuk juga perbahasan ini dalam التكبير عند ختم المصحف الشريف: مفهومه وأحكامه بين القراء والفقهاء oleh dr. muhammad khalid mansur dari uni. jordan.

ini bukan benda baru, ini juga berlaku pada imam abu umar al asadi hafs bin sulaiman. ditajrih dengan teruk dalam bidang hadis tapi dipercayai dalam qira'at (al kasyif j1 ms341)

bahkan dalam periwatan hadis sendiri terdapat perbezaan bidang dan takhassus. lihat apa yang ulama rijal kata mengenai imam ismail bin 'ayyash. beliau dalam periwayatan hadis ahli syam adalah dipercayai. tetapi hadis ahli iraq dan hijaz riwayatnya bermasalah. (al tahzib j1 ms282) lihat juga perkataan imam ahmad mengenai farj bin fadhalah (al mizan j3 ms344)

inilah salah satu perbezaan yang saya dapati wujud dalam sanad qira'at dan hadis. iaitu perbezaan yang melibatkan ilmu jarh wa ta'dil. mungkin ada lagi. yang terbayang di fikiran saya sekarang, perbezaan yang mungkin juga wujud dalam status sesebuah qira'at dan hadis. ini ada kaitan juga dengan hadis al bazzi. imam al jazari dalam al nasyr menyatakan amalan bertakbir seolah-olah mencapai darjat mutawatir. bagi ulama hadis mungkin lain ceritanya.

nota penting
bicara di atas perdasarkan pertimbangan ulama hadis yang menyatakan hadis al bazzi daif kerana kedudukan imam bazzi di sisi mereka. tetapi pengkaji kontemporari telah menjumpai satu mutaba'ah yang cukup kuat untuk hadis ini. iaitu mutaba'ah imam syafie. ia diriwayatkan oleh abu ya'al al khalili dalam kitab al irsyad fi ma'rifah ulama al hadis (no 83). katanya: 

حدثنا جدي ، حدثنا عبد الرحمن بن أبي حاتم ، حدثنا محمد بن عبد الله بن عبد الحكم ، حدثنا الشافعي ، قال : قرأت على إسماعيل بن عبد الله بن قسطنطين ، قال : قرأت على عبد الله بن كثير ، وقرأ عبد الله بن كثير على مجاهد ، وقرأ مجاهد على عبد الله بن عباس ، وقال عبد الله بن عباس : قرأت على أبي بن كعب ، فلما بلغت والضحى قال لي : يا ابن عباس ، كبر فيها ، فإني قرأت على رسول الله صلى الله عليه وسلم « فأمرني أن أكبر فيها إلى أن أختم  

mungkin ini sebab mengapa imam syafie menyatakannya sebagai sunnah dan meninggalkannya sebagai meninggalkan sunnah. sekaligus memberi kefahaman apa yang dikatakan oleh ibnu kathir dalam tafsirnya: tetapi al sheikh syihabuddin menceritakan dalam syarah al syatibiyyah dari al syafie, beliau mendengar seorang lelaki bertakbir dengan takbir ini dalam solat. lalu dia berkata kepadanya: kamu telah membuat kebaikan dan menepati sunnah. (kata ibnu kathir) ini menunjukkan kesahihan hadis ini (hadis al bazzi)


wallahu'a'lam bis sawab..

Rabu, Januari 20, 2010

ulasan al hafiz al 'iraqi: pindah mazhab dan hadis yang bertentangan kata imam.



sesetengah puak sekarang seolah-olah memandang remeh kepada ulama fiqh. bagi mereka, ulama fiqhlah yang menyebabkan kemunduran dan kejumudan. merekalah yang menyeru kepada taat setia kepada si folan dan si fulan dan membelakangi sunnah Rasul. fuqaha lebih tahu sabda syafie, malik, ahmad dan sekaum dengannya dari sabda rasulAllah s.a.w.

akhirnya, penentangan mazhab dan ulama fiqh sering disinonimkankan dengan mengikuti sunnah, aliran hadis, fiqh sunnah, ajaran islam sebenar dan banyak lagi slogan-slogan yang sering kali berkumandang akhir-akhir ini.

saya juga kadang-kadang terkesan. rasa tak kuat kiranya hanya menukil kata-kata ulama fiqh seperti ibnu hajar al haitami, walaupun dia mempunyai pandangan dalam bidang hadis seperti dalam kitabnya fatawa hadisiyyah. salahnya ibnu hajar kerana ia terkenal sebagai ulama fiqh syafie.

cuma yang membezakan saya yang turut terkesan dengan mereka, saya yakin dan percaya dengan ulama fiqh dalam diri saya tetapi untuk berhujjah dengan orang lain saya tidak yakin. ketidakyakinan ini berpunca dari keberangkalian si 'dia' tidak yakin dengan ulama ini. pada penghujungnya, saya sendiri tidak mahu kerana ketidak yakinan 'dia'.

permasalahan yang saya nukil dari al hafiz al 'iraqi ini sebenarnya berlambak dari kata ulama-ulama fiqh. yang berbeza, ia keluar dari seorang ulama yang cukup dikenali dalam bidang hadis sehingga digelar al hafiz. harapan saya selain penjelasan dan penyelesaian darinya, membetulkan tanggapan pembaca dan saya sendiri terhadap ulama seluruhannya.

al hafiz al 'iraqi dalam al ajwibah al mardhiyyah 'an al asiilah al makkiyah (الأجوبة المرضية عن الأسئلة المكية) muka surat 102:

" masalah 23: bolehkah si muqallid imam abu hanifah r.a sebagai contoh, bertaqlid ketika darurat dalam satu masalah atau dua masalah selain imamnya seperti imam al syafie r.a. apabila beramal dengannya beberapa kali kemudian kembali kepada mazhab imamnya, adakah dia berdosa atau tidak?

jawapan: ya, boleh kepada muqallid seseorang imam untuk berpindah mengikuti selain imamnya dalam beberapa masalah ketika perlu, dengan syarat tidak menjadi kebiasaan dan kelazimannya berbuat demikian untuk mencari rukhsah. dan tidak wajib apabila mengikuti selain imamnya pada masalah  itu secara khususnya, untuk kembali mengikuti imamnya yang asal. juga kami izinkan mengikuti mazhab selain imamnya bersyarat tidak terjebak dalam perkara yang disepakati batalnya disisi imam mazhabnya dan imam yang dia berpindah kepadanya.

barangsiapa yang bertaqlid kepada malik r.a sebagai contoh, dalam masalah tidak batal wuduk dengan menyentuh perempuan tanpa syahwat kemudian bersolat, maka wajib menggosok tubuhnya (ketika mandi) dan menyapu seluruh kepalanya (ketika wuduk). jika tidak, solatnya adalah batal disisi kedua-dua imam. ketahuilah perkara ini kerana sesungguhnya kadang-kadang ia tersembunyi."

kefahaman yang anda dapat dari atas hendaklah dilengkapkan dengan kenyataan al hafiz sebelumnya, agar ia terselit kemas di minda. terutama ia berkaitan langsung dengan peranan hadis sahih dalam perpindahan mazhab. kata al hafiz al iraqi muka surat 65:

" masalah 13: seseorang muqallid apabila menjumpai sebuah hadis sahih yang berbeza dengan apa yang difatwakan oleh imamnya dalam masalah furu', adakah boleh kepadanya beramal dengan hadis tersebut atau tidak? ini berserta dia tahu bahawa hadis tersebut tidak mansukh dan tidak terikat dengan apa-apa.

jawapan: sesungguhnya al syafie -moga Allah merahmatinya- telah sahih darinya bahawa beliau pernah berkata, tiada seseorangpun kecuali terlepas darinya satu sunnah RasulAllah s.a.w. apa pun yang aku kata atau satu usul yang aku asalkan, tetapi terdapat sesuatu dari rasulallah yang bercanggah dengan kataku, maka kata yang benar ialah apa yang rasulallah kata dan ialah pendapatku.

dalam lafaz yang lain, apabila kamu mendapati dalam kitabku percanggahan dengan sunah rasulallah s.a.w, maka berpendapatlah dengan sunnah rasulallah s.a.w dan tinggalkan kataku.

pengikut al syafie apabila menjumpai satu hadis sahih berbeza dengan apa yang difatwakan oleh al syafie serta dia tahu hadis itu tidak mansukh dan tidak disanggah dengan apa yang lebih rajih, maka beramallah dengannya. pandangan itu pada ketika itu mazhab al syafie, dengan syarat muqallid tersebut mempunyai keahlian mengetahui hadis sahih dan tidak, keahlian memahami hadis dan beramal dengannya, mengetahui secara menyeluruh dalil-dalil dalam bab tersebut, mengetahui syarat tarjih dan dengan syarat telah melihat kata-kata al syafie mengenai masalah tersebut pada sumbernya serta mengetahui bahawa al syafie tidak menjumpai hadis tersebut dan (tidak) meninggalkannya kerana sebab.

oleh itu al marwadi berkata: mazhab al syafie ialah solat wusto adalah solat asar kerana hadis sohih. walaupun al syafie telah menaskan bahawa ia adalah solat subuh kerana hadis tersebut tidak sampai kepadanya. 

adapun orang kebanyakan, mereka tidak boleh berbuat demikian. bagaimana boleh beramal dengan hadis seorang yang tidak boleh membezakan hadis sahih dari yang tidak, tidak berkeahlian untuk beramal dengannya, tidak mempunyai penelitian dan pengetahuan tentang usul-usul yang memimpinnya untuk berbuat demikian dan tidak tahu kata-kata al syafie secara menyeluruh sehingga dia tahu al syafie mengetahui hadis tersebut atau tidak.

sangka baik dengan seluruh imam bahawa mereka juga berkata sepertimana kata al syafie. tetapi apabila tidak dinukilkan secara jelas dari mereka maka tidak boleh kita meletakkan ia sebagai mazbah mereka dan meriwayatkan dari mereka.

ya, tidak boleh disisiku kepada seorang dari ahli faham, mengetahui hadis sahih dari tidak, berkemampuan dalam dua ilmu ilmu usul dan bahasa arab, mengetahui perbezaan ulama salaf dan sumber mereka, apabila menjumpai satu hadis sahih berbeza dengan pendapat imam yang diikutinya: meninggalkan hadis tersebut dan beramal dengan pendapat imamnya, walaupun dia tidak boleh menjadikannya sebagai mazhab imamnya.

imam al baihaqi telah meriwayatkan dengan sanad yang sahih dari abdullah bin mubarak berkata: aku mendengar abu hanifah berkata, apabila datang dari nabi s.a.w maka patuh dan taat. apabila datang dari sahabat nabi s.w.s kami akan memilih dari pandangan mereka. dan apabila datang dari tabi'en kami akan campur tangan dengan mereka."

moga kejahilan dan ketidak teruan terlerai. amin...

Ahad, Januari 10, 2010

moga terkena tempias rahmat-Nya

alhamdulillah...alhamdulillah. lautan syukur yang tidak berpantai kepada MU. di kala Kau tidak memerlukanku, Kau perkenan menunjuk jalan menuju-Mu. di kala Kau tiada berkepentingan denganku Kau mencemar duli memimpin ku kepada Mu.

malam tadi merupakan salah satu hari bahagia dalam hidup al faqir. setelah sekian lama bergelumang dengan kotoran dunia, sibuk mengejar nama, duit dan tugasan yang tiada penyudahnya, akhirnya dapat bertandang di taman syurga walaupun sangat relatif singkat berbanding masa dan ruang yang diluangkan untuk dunia.

setelah makan sedikit 'langsat' (baca: sesat) akhirnya sampai juga di masjid al falah yang terkenal di malaysia ini dengan majlis dengan para ulama serata dunia. sebelum maghrib saya dan isteri tiba dengan kemudahan parking yang tak diduga. syukur buat-Mu sekali lagi.

setelah mendengar zikir, alunan qasidah dan sedikit kata-kata dari dif jemputan dari singapura, indonesia dan negara kanggaru, selepas insya' wajah-wajah berseri dengan giliran habib umar menyampaikan ucapannya.

benar katanya. Allah memberi hidayat kepada kami untuk datang ke sini agar menerima tambahan hidayat-Nya. memberi taufiq agar kami mendapat taufiq seterusnya.

di tempat kerja saya banyak kali mendengar ilmiah, akademik, sarjana dan entah apa lagi yang sewaktu dengannya. tapi ilmu yang membawa keinsafan, taubat, penyesalan terhadap kesalahan kecil atau besar hanya ada pada manusia yang menjadi pilihan Allah. habib umar salah seorang darinya. begitulah para guru saya di mesir dahulu. yang meletakkankan mereka istimewa di hati ini bukanlah akademik, ilmiah semata-mata, tapi takwa dan adab serta amalan.

imam taqiuddin al subki sebelum memulakan penulisan, melengkapi apa yang ditinggalkan oleh imam nawawi dalam syarah muhazzab oleh imam al syirazi, beliau telah menggariskan kelebihan imam nawawi sehingga mampu menulis kitab majmu' sedemikian rupa. katanya dalam muqaddimah tulisannya dengan sedikit ulasan dari saya. 

imam nawawi telah diberi waktu yang lapan dan hati yang  kosong. beliau tidak ada kesempatan untuk urusan dirinya dan keluarga. perkata ini jelas sekiranya kita pernah membaca perjalanan hidupnya yang bergantung kepada jarayal madrasah, iaitu makanan asrama yang disediakan di 'pondok' beliau tinggal. tambahan lagi beliau tidak pernah berkahwin. kata setengah ulama, ilmu akan disembelih di celah paha perempuan.

beliau juga berpeluang memiliki kitab-kitab yang membantunya mengkaji dan meneliti pendapat ulama-ulama terdahulu. kata al subki, keadaan tempatnya memudahkan demikian.

yang terakhir: niat yang baik, warak dan zuhud yang bersangatan dan amalan salih yang menyinari. imam nawawi dalam hal ini memperolihi bahagian yang sempurna. bahkan seolah-olah disepakati oleh seluruh ulama yang menulis tentangnya, beliau seorang wali Allah. imam al sakhawi dalam tarjamahan imam nawawi meletakkan beliau di tempat qutubul auliya'.

malam tadi ramai yang menangis dan meratap bila al habib berdoa. sampai hadirin terbangun berdiri. tapi saya tak mampu. lautan manusia disurami dengan penyesalan dan harapan kepada Allah. disebelah saya seorang pemuda berbaju t shirt dan seluar jeans meratap menangis-nangis mengaminkan doa. rahmat Allah benar-benar turun. moga saya turut terkena tempiasnya.

disini saya kepilkan u tube merakam sebahagian suasana semalam. alhamdulillah...segala syukur buat-Mu.

suasana di penghujung majlis...bersama al habib umar bin hafez

Ahad, Januari 03, 2010

marhaban habib umar!! : mencari rahmat Allah yang mencurah-curah




dalam riuh rendah kebisingan dunia, haru biru perjuangan menegakkan islam terutama selepas kebenaran mahkamah tinggi kuala lumpur membenarkan penggunaan kalimah ALLAH kepada bukan islam, diterukkan lagi dengan sokongan individu tertentu yang diharapkan menentang keputusan ini. juga pergolakan politik yang turut serba sedikit mengancam agama islam. akhirnya ada jua yang menghiburkan hati ini. kunjungan ulama besar dari tanah hadramaut.

marilah kita sama-sama menyirami hati yang gersang dengan rahmat Allah yang turun mencurah-curah dalam majlis ilmu. lebih-lebih lagi dihadiri oleh wali Allah. kehadiran ini insyaAllah akan melemparkan kecelakaan jauh-jauh dari kita dan moga-moga Allah mengampuni kita dengan menghadirinya. merekalah kaum yang tidak akan celaka orang yang duduk bersamanya.(maksud hadis)

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الحكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر


kunjungi http://al-fanshuri.blogspot.com/ untuk maklumat lanjut.

Rabu, Disember 23, 2009

aduhai pelajarku!

beberapa hari yang lalu, saya menerima sms dari salah seorang pelajar kelas saya semester lepas. bunyinya:

" pd jalan berliku, mga Allah luruskn lgkahmu..kja kesusahn dtg, mga Allah kuatkn htimu..pd hti y glisah, mga Allah curahkn ktenangan..pd jwa yg kusut, mga rahmatNya sntiasa menaungi dirimu..pd daya yg rapuh, mga dmudhknNya dlm sgla urusan..pd hti yg kelam, mga sinar petunjuk&kasihNya sntiasa brsamamu..salam tahun baru hijrah dan terima kasih pada ustaz yang bg A pd sy..syukran..dr xxxx maharat qiraah set xx.:)"

amin..amin. moga doanya kepada saya dimakbulkan Allah. permulaannya adalah doa yang sering saya dambakan dari setiap orang yang mengenali diri ini. terutamanya dari anak murid sendiri. tetapi sms ini diakhiri dengan kekeruhan setelah ketenangan. kekeruhan yang telah menjadi identiti sebahagian pelajar masa kini. penghargaan dan kasih hanya kepada sesiapa yang menambah nilai dalam sekeping kertas.

pelajar hari ini tahu mengejar huruf-huruf A B C. mereka cuba sedaya mungkin mengelak dari bertembung dengan D E, kadang kala C juga. ilmu pengetahuan yang diperolihi mungkin berada dalam hati mereka kedudukan no dua tiga atau empat.

akhirnya, hati mereka juga cenderung kepada ihsan A B C. terima kasih, salam dan bertegur mesra hanya kepada tuan ihsan. bahkan kadang kala melarat kepada senyum dan melihat. kalau ustaz atau gurunya tidak memenuhi KPInya, bila selisih tengok pun tidak, apatah lagi nak senyum.

setiap semester, ada seorang dua pelajar yang saya perasan sebegini. tidak tahulah betul tidak perasaan ini. harapnya meleset. ini bukan hanya berlaku dalam kelas saya. banyak rungutan dari rakan-rakan sepejabat mengenainya. ia tampak jelas dalam muamalah pelajar-pelajar.

zaman salafus salih dulu, ada ulama yang mendoakan gurunya sebelum ibu bapanya. kata setengah mereka sepertimana yang saya dengar dari para masyayikh, ibu bapa adalah ibu bapa kelahiran, guru pula ibu bapa kehidupan. ibu bapa mengeluarkan kita dari kegelapan rahin kepada sinaran alam dunia, guru mengeluarkan kita dari kegelapan jahil kepada sinaran pengetahuan.

pelajar hari ini membacakan talak ta'lik kepada guru. hormat dan penghargaan apabila dapat result tinggi. saya sudah berbuih mulut memberi nasihat ilmu adalah segalanya. hormatilah tuperwarenya. dada ulama dan perut kitab.

sma dibalas. moga Allah menusuk hatinya dengan jarum ikhlas. moga ilmu menjadi asas.

" selamat tahun baru hijrah. hargailah semua yang mencurah ilmu kepada anta, tanpa mengira apa jua huruf yang diberi. A B C. huruf itu adalah dari usaha anta. ilmu adalah dari usahanya"

"ok, ustz...sy ingt pesan 2..slamt tahun bru..:-) doakan sy bjaya dunia akhrt..."

selamat berjaya.

Rabu, Disember 16, 2009

doa tahun baru: satu pengamatan ringkas

beberapa hari lagi kita akan memasuaki tahun baru hijrah 1431. entah mengapa, beberapa tahun kebelakangan ini masa terasa cepat berlalu. sumbangan pula rasanya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan jangka masa yang telah pergi, apatah lagi amal ibadat.

bersempena dengan kehadiran tahun baru ini beberapa program di merata tempat diatur, terutama berkaitan dengan hijrah rasulallah s.a.w. antaranya membaca doa awal tahun. tidak sahaja di alam nusantara ini bahkan melangkaui benua arab. saya pernah menghadiri majlis tersebut ketika menuntut di mesir.

doa khusus ketika meyambut kehadiran tahun baru sepertimana yang diamal dan dibaca setakat pengetahuan saya tidak terdapat dalam kitab-kitab sunnah. tiada riwayat khusus dari nabi s.a.w berkenaan dengan amalan ini.

namun, ada riwayat sahih dari para sahabat tentang amalan membaca doa menyambut ketibaan tahun baru. bahkan ia juga dilakukan ketika bulan baru.

seorang sahabat bernama abdullah bin hasyim telah menceritakan bahawa para sahabat apabila masuknya tahun atau bulan baru, mereka berdoa dengan doa ini:
اللهم ادخله علينا بالامن والايمان والسلامة والاسلام ورضوان من الرحمن وجواز من الشيطان

hadis ini diriwayatkan oleh imam al tabarani dalam al mu'jam al awsat bab mim man ismunu muhammad hadis no 6423 al baghawi dalam mu'jam al sahabat bab abdullah bin hisyam hadis no 1539. riwayat imam al tabarani telah dinilai hasan oleh imam al haithami dalam majma' al zawaid. riwayat imam al baghawi pula dengan sanad yang sama dikeluarkan oleh imam al bukhari, oleh itu al hafiz ibnu hajar menyatakan, ia hadith mawquf menepati syarat sahih.(al isabah: bab zikr man ismuhu abdullah)

oleh itu, saya berpendapat -wallahu a'lam bis sawab- amalan yang dilakukan ini ada asasnya daripada sahabat r.a. walaupun kelihatan nabi s.a.w tidak pernah melakukannya.

telah terbukti dalam banyak hadis bahawa nabi s.a.w berdoa ketika melihat hilal. ia bukan sahaja hilal ramadan bahkan bulan-bulan yang lain. ini dapat kita lihat dari tarjamah-tarjamah bab dan syarahannya yang mengandungi hadis-hadis terbabit yang ditulis secara umum. dari hadith ini dan hadith-hadith lain menunjukkan doa disunatkan ketika timbulnya tanda kebesaran Allah dan perubahan keadaan.(al mirqah: bab al da'awat al mutafarriqah fil awqat)

ini secara tidak langsung menunjukkan sunat berdoa kerana kemasukan bulan muharram. berdasarkan hadith berdoa ketika melihat hilal berkemungkinan nabi s.a.w juga berbuat demikian-wallahu a'lam-

ini boleh dijadikan dalil umum keharusan berdoa ketika perubahan tahun-wallhu a'lam-

berkenaan dengan bentuk doa, umum mengetahui bahawa sebarang doa dibolehkan sesuai dengan keperluan pendoa itu sendiri. ya, wujud doa dalam bentuk tertentu dari nabi s.a.w seperti doa malam lailatul qadar, tetapi menghadkan seseorang berdoa dengan doa itu sahaja adalah keterlaluan dan menyalahi amalan muslimin seluruhnya. namun, berdoa dengan doa nabi s.a.w adalah satu kelebihan.


berkenaan doa tahun baru, apa-apa pun doa dibenarkan asalkan bersesuaian dengan diri dan berlandaskan nilai antara seorang hamba kepada tuhannya. walaupun begitu, doa yang dititipkan oleh sahabat ini sewajarnya terselit bersama. apatah lagi, ia sebenarnya berasal usul dari doa nabi ketika melihat hilal/anak bulan.

bagi orang yang tidak berkenan dan menganggapnya bid'ah, dia ada hak dan sebab berbuat demikian. lagi pun, ia memang bid'ah kerana ia secara khusus tidak dilakukan oleh nabi s.a.w dengan doa khusus sebagaimana dibuat sekarang. tapi jika bid'ah sesat yang membawa ke neraka, keretanya tersilap lorang.

bagi yang ingin melakukannya, dinasihatkan membawa bersama doa sahabat itu. moga-moga tahun baru hujrah 1431 benar-benar bermakna.


selamat tahun baru 1431 hijrah

Sabtu, Disember 05, 2009

Solat zohor tidak wajib?

Sejak saya balik dari luar negara, kerap kali saya membaca tulisan-tulisan yang agak pelik berkenaan dengan urusan agama. Ada yang salah pada pandangan si kerdil ini -wallahu ‘a‘lam- juga ada yang betul tapi tidak kena dari sudut cara dan persembahannya. Tidak kurang juga yang tidak seberapa tepat walaupun ia tidaklah dikategori sebagai salah.

Sempena hari raya aidil adha baru-baru ini, saya ada terbaca artikel yang menyebut tentang hukum hakam yang berkaitan dengan hari raya yang disambut pada hari jumaat. Ia simple dan mudah difahami, tetapi terdapat perkara yang membuat dahi ini berkerut. Apabila ia seolah-olah memberi kekuatan kepada sebuah pendapat ‘syaz’; kewajipan fardu zohor tergugur dengan solat sunat aidil adha. Katanya ia bertepatan dengan zahir hadis.

Walaupun ulasan ini agak lewat dan tidak lagi releven dengan berlalunya aidil adha beberapa hari lalu, tetapi dari sudut lain, ia tetap valid sesuai dengan sifat ilmu pengetahuan yang tidak pernah basi dan reput, walaupun tuannya telah melangkah kaki kanannya ke syurga.

Jumaat, November 20, 2009

Sheikh Taha Rayyan: guruku murabbiku(2)

beliau ialah professor doktor ahmad taha rayyan. kelahiran negeri qina, salah sebuah negeri di bumi kinanah, mesir. beliau merupakan anak didik universiti tertua dunia al azhar, selepas menyertainya di kuliah syariah dan qanun. memperolihi BA. hons pada tahun 1966, master dalam bidang fiqh perbandingan 1968 dan doktor falsafah dalam bidang yang sama pada tahun 1973.
beliau telah diberi penghormatan yang cukup besar apabila diterima sebagai salah seorang warga pendidik al azhar. kerjayanya diiktifaf apabila dinaikkan kepada professor madya di kuliah syariah dan undang-undang tahun 1980, dan lima tahun kemudian menerima lantikan professor penuh di fakulti yang sama.

sepanjang kariernya, dr. taha rayyan pernah memegang jawatan dekan fakulti syariah dan undang-undang al azhar cawangan asyut, naib canselor universiti al ahqaf hadramaut disamping jawatan dekan syariah dan pengajian islam di sana. al sheikh juga pernah dipinjamkan ke universiti madinah selama empat tahun dan ummul qura lima tahun serta di universiti daka bangladesh dan bisyawur pakistan selama beberapa waktu.kerana ilmu al sheikh pernah ke amerika, uzbakistan, UAE, tunisia, arab saudi dan lain-lain lagi. sheikh taha rayyan juga telah menghasilkan beberapa penulisan ilmiah sebagai warisan kepada umat ini, antaranya:
  1. المسكرات و علاجها في الشريعة الاسلامية

  2. المخدرات بين الطب والفقه

  3. سنن الفطرة بين المحدثين والفقهاء

  4. dan beberapa karya lain lagi.

di bumi para nabi, beliau dikenali sebagai salah seorang pakar dalam mazhab maliki r.a. jesteru, beliau banyak kali terbang ke dubai diatas tiket penasihat berkenaan mazhab maliki. dubai sepertimana cerita sheikh taha, mempunyai hasrat tinggi untuk memempatkan mazhab maliki di sana bahkan diseluruh dunia. tetapi malangnya, penduduknya kebanyakannya bermazhab syafie. saya masih ingat, semasa mengikuti pengajiannya, kami pernah "bercuti" kerana al sheikh ke sana di dalam rangka menyusun program pendidikan universiti imam malik di dubai yang sekarang ini beliau adalah wakilnya.

usaha dubai dalam memartabatkan mazhab maliki tampak jelas dengan penubuhan darul buhus lil dirasaat al islamiyyah wa ihya' al thuras. ia begitu terkenal dikalangan pencinta kitab-kitab turath kerana dua perkara. buku-buku keluarannya berkualiti tinggi dengan harga runtuh!

menziarahinya di pameran buku antarabangsa di kaherah adalah wajib, walaupun sekadar melepaskan 'rindu' pada kulit-kulit kitab. sedihnya, kebanyakan buku keluarannya berkaitan dengan mazhab maliki. jika bukan berkaitan maliki, hanya berbentuk buku-buku kecil tulisan ulama sekarang. satu-satunya kitab pengubat kesedihan kami ialah al ibhaaj karangan dua imam subki anak beranak. ia dicetak dengan tahqiq yang amat baik, setelah terperap lama di perpustakaan dengan cetakan lama yang penuh dengan keaiban dan hampir pupus. kitab ini adalah sumbangan darul buhus kepada penuntut mazhab syafie.

al sheikh merupakan salah satu permata bumi mesir. mengenalinya satu penghormatan, apatah lagi berada di bawah curahan ilmu. beliau seorang yang amat tenang. ketenangannya tampak pada mukanya yang jernih dan gerak geri serta prilakunya. sifat tenang sesuatu yang sukar ditemui pada warga mesir. mereka yang pernah belajar di sana tentu faham perkara ini. hanya tiga orang masyayikh yang saya kenali bersifat demikian, sheikh taha rayyan seorang dari mereka.

cerita mengenainya amat luas dan saya tak mampu mengetahui semuanya. saya hanya bercerita apa yang saya tahu dan sesuai dicoretkan disini.

beliau mempunyai beberapa halaqah penyajian. halaqah kitab subulus salam, nailul autar, muwatta' imam malik, syarhus saghir imam dirdir dalam fiqh maliki dan lain lain. tiga yang pertama adalah kegemaran saya. pengajian syarhus saghir untuk penuntut mazhab maliki walaupun ramai menghadirinya, saya memilih untuk tidak hadir kecuali sekali sahaja. itupun kerana ada jemputan makan:)

kisah kelas-kelas tersebut akan menyusul kemudian.

Khamis, November 19, 2009

Sheikh Taha Rayyan: guruku murabbiku

saya ingin sangat bercerita mengenai kehidupan semasa mengaji di mesir. saya tidak apa-apa kenangan yang boleh dikongsi dan diingati, baik melancong ke tempat-tempat menarik, shoping, glamor dll kecuali duduk berteliku mengadap wajah-wajah tenang para ulama di sana. sekiranya ada rakan-rakan yang bercerita mengenai tempat-tempat di sana yang pernah dilawati, saya hanya tukang dengar. tiada apa yang boleh dikongsi. saya hanya pernah ke sinai dalam keadaan terpaksa dan pulang dengan penuh penyesalan.

ini hanyalah muqaddimah saje. cerita mengenai sheikh taha rayyan akan menyusul dalam posting kemudian, insyaAllah.

assalamualaikum...

hari ini saya memulakan blogging. cinta Rasulallah menjadi tagline. moga-moga Allah berkenan memberi secebis cinta buat nabi-Nya dalam diri ini. cinta yang membawa ke syurga. amin.