Jumaat, November 20, 2009

Sheikh Taha Rayyan: guruku murabbiku(2)

beliau ialah professor doktor ahmad taha rayyan. kelahiran negeri qina, salah sebuah negeri di bumi kinanah, mesir. beliau merupakan anak didik universiti tertua dunia al azhar, selepas menyertainya di kuliah syariah dan qanun. memperolihi BA. hons pada tahun 1966, master dalam bidang fiqh perbandingan 1968 dan doktor falsafah dalam bidang yang sama pada tahun 1973.
beliau telah diberi penghormatan yang cukup besar apabila diterima sebagai salah seorang warga pendidik al azhar. kerjayanya diiktifaf apabila dinaikkan kepada professor madya di kuliah syariah dan undang-undang tahun 1980, dan lima tahun kemudian menerima lantikan professor penuh di fakulti yang sama.

sepanjang kariernya, dr. taha rayyan pernah memegang jawatan dekan fakulti syariah dan undang-undang al azhar cawangan asyut, naib canselor universiti al ahqaf hadramaut disamping jawatan dekan syariah dan pengajian islam di sana. al sheikh juga pernah dipinjamkan ke universiti madinah selama empat tahun dan ummul qura lima tahun serta di universiti daka bangladesh dan bisyawur pakistan selama beberapa waktu.kerana ilmu al sheikh pernah ke amerika, uzbakistan, UAE, tunisia, arab saudi dan lain-lain lagi. sheikh taha rayyan juga telah menghasilkan beberapa penulisan ilmiah sebagai warisan kepada umat ini, antaranya:
  1. المسكرات و علاجها في الشريعة الاسلامية

  2. المخدرات بين الطب والفقه

  3. سنن الفطرة بين المحدثين والفقهاء

  4. dan beberapa karya lain lagi.

di bumi para nabi, beliau dikenali sebagai salah seorang pakar dalam mazhab maliki r.a. jesteru, beliau banyak kali terbang ke dubai diatas tiket penasihat berkenaan mazhab maliki. dubai sepertimana cerita sheikh taha, mempunyai hasrat tinggi untuk memempatkan mazhab maliki di sana bahkan diseluruh dunia. tetapi malangnya, penduduknya kebanyakannya bermazhab syafie. saya masih ingat, semasa mengikuti pengajiannya, kami pernah "bercuti" kerana al sheikh ke sana di dalam rangka menyusun program pendidikan universiti imam malik di dubai yang sekarang ini beliau adalah wakilnya.

usaha dubai dalam memartabatkan mazhab maliki tampak jelas dengan penubuhan darul buhus lil dirasaat al islamiyyah wa ihya' al thuras. ia begitu terkenal dikalangan pencinta kitab-kitab turath kerana dua perkara. buku-buku keluarannya berkualiti tinggi dengan harga runtuh!

menziarahinya di pameran buku antarabangsa di kaherah adalah wajib, walaupun sekadar melepaskan 'rindu' pada kulit-kulit kitab. sedihnya, kebanyakan buku keluarannya berkaitan dengan mazhab maliki. jika bukan berkaitan maliki, hanya berbentuk buku-buku kecil tulisan ulama sekarang. satu-satunya kitab pengubat kesedihan kami ialah al ibhaaj karangan dua imam subki anak beranak. ia dicetak dengan tahqiq yang amat baik, setelah terperap lama di perpustakaan dengan cetakan lama yang penuh dengan keaiban dan hampir pupus. kitab ini adalah sumbangan darul buhus kepada penuntut mazhab syafie.

al sheikh merupakan salah satu permata bumi mesir. mengenalinya satu penghormatan, apatah lagi berada di bawah curahan ilmu. beliau seorang yang amat tenang. ketenangannya tampak pada mukanya yang jernih dan gerak geri serta prilakunya. sifat tenang sesuatu yang sukar ditemui pada warga mesir. mereka yang pernah belajar di sana tentu faham perkara ini. hanya tiga orang masyayikh yang saya kenali bersifat demikian, sheikh taha rayyan seorang dari mereka.

cerita mengenainya amat luas dan saya tak mampu mengetahui semuanya. saya hanya bercerita apa yang saya tahu dan sesuai dicoretkan disini.

beliau mempunyai beberapa halaqah penyajian. halaqah kitab subulus salam, nailul autar, muwatta' imam malik, syarhus saghir imam dirdir dalam fiqh maliki dan lain lain. tiga yang pertama adalah kegemaran saya. pengajian syarhus saghir untuk penuntut mazhab maliki walaupun ramai menghadirinya, saya memilih untuk tidak hadir kecuali sekali sahaja. itupun kerana ada jemputan makan:)

kisah kelas-kelas tersebut akan menyusul kemudian.

Khamis, November 19, 2009

Sheikh Taha Rayyan: guruku murabbiku

saya ingin sangat bercerita mengenai kehidupan semasa mengaji di mesir. saya tidak apa-apa kenangan yang boleh dikongsi dan diingati, baik melancong ke tempat-tempat menarik, shoping, glamor dll kecuali duduk berteliku mengadap wajah-wajah tenang para ulama di sana. sekiranya ada rakan-rakan yang bercerita mengenai tempat-tempat di sana yang pernah dilawati, saya hanya tukang dengar. tiada apa yang boleh dikongsi. saya hanya pernah ke sinai dalam keadaan terpaksa dan pulang dengan penuh penyesalan.

ini hanyalah muqaddimah saje. cerita mengenai sheikh taha rayyan akan menyusul dalam posting kemudian, insyaAllah.

assalamualaikum...

hari ini saya memulakan blogging. cinta Rasulallah menjadi tagline. moga-moga Allah berkenan memberi secebis cinta buat nabi-Nya dalam diri ini. cinta yang membawa ke syurga. amin.