Rabu, Mac 31, 2010

Sheikh Taha Rayyan: guruku murabbiku

Beberapa waktu yang lalu, saya tidak merasa selesa setelah memulakan bicara mengenai maulana sheikh taha rayyan yang tidak berkesudahan. Kini saya cuba –insyaAllah- menyudahinya. Ia kini bagaikan tanggungjawab seorang murid kepada gurunya.

Sejak awal lagi, saya memilih maulana taha rayyan kerana beberapa sebab. Saya ada beberapa guru di sana. Antaranya mempunyai nama besar dalam bidang ilmu. Tapi maulana sheikh taha rayyan lain sedikit. Beliau salah seorang calon mufti mesir setelah dr. ahmad tayyib. Tapi beliau menolaknya kerana menjaga agamanya.

Semua orang tahu bahawa jawatan agama di mesir terdedah kepada banyak cabaran. Terutama dari pihak pemerintah. Ini kerana mesir walaupun dari satu sudut, cenderung kepada komunis dalam sekular, tapi akar umbinya masih terikat dengan agama. Jesteru, sebarang tindakan dengan sokongan agama akan mengambil tempat di hati rakyatnya. Ini berlaku sejak dahulu lagi. Sheikh al maraghi, bekas reaktor al azhar pernah diminta raja faruq untuk menghalalkan bekas isterinya yang ditalak tiga. Padahal dia si diktator yang boleh buat apa saja. Namun, iman sheikh al azhar telah menyelamatkannya. Baru-baru ini, sheikh al azhar (artikel ini sblm beliau meninggal dunia) telah menghalalkan tembok besi yang dibina pemerintah mesir di sempadan mesir-gaza. Ia dibuat atas nama majma’ buhuth islami. Banyak cakap-cakap di sebalik penghalalan ini. Allah sahaja yang maha mengetahui.

Setelah maulana ali jumaah dilantik mufti selepas dr. ahmad taiyyib, beliau telah diserang teruk oleh media masa. Saya pernah mendengar dari mulutnya sendiri, hanya satu akhbar yang menyebelahinya. Rasanya liwa’ islami. Berbelas akhbar lain hanya tahu menebar fitnah dan kekeliruan. Orang baik susah hidup di sana. Dr. nasr farid jatuh juga kerana akhbar. Disebalik banyak juga kontrovasi sebalik keputusan mufti ali jumaah, saya berharap Allah menjaga maulana dr ali jumaah dari ujian dunia mufti. Dalam sejarah umat islam, tidak sedikit yang ditajrih kerana hubungannya dengan umara.

Sheikh taha rayyan juga seorang yang amat tawaduk. Rumahnya sangat jauh. Tapi beliau berusaha seorang diri menaiki teksi memenuhi hasrat penuntut ilmu di sekeliling al azhar hampir setiap hari. Beliau bukannya muda lagi. Tapi semangat ‘memberi’ pada dirinya mengalahi orang muda. Ini dan beberapa faktor lain lagi yang meletakkannya di senarai paling atas untuk dimuatkan di ruang yang terbatas ini.

Kelas pengajian kitab muwatta’ imam malik kendaliannya merupakan pengajiannya yang paling saya minati. Ini selepas pengajiannya kitab subulus salam digugurkan tanpa berita. Selain kami pengikut mazhab syafie, tentunya kelas ini tumpuan pelajar mazhab maliki. Di sini juga saya telah berkenalan dengan beberapa rakan istimewa dari mazhab maliki. Antaranya sheikh Husain dari francis dan sheikh syarif dari afrika tengah.

maulana al sheikh di madyafah ismail al adawi
Kelas ini berlangsung di tempat yang dikenali sebagai madyafah. Ia wakaf sheikh ismail sadiq al ‘adawi kepada penuntut ilmu. Sheikh ismail salah seorang imam jami’ al azhar berketurunan saidina umar r.a. Tempat ini dibina di salah sebuah lorong yang bertentangan dengan pintu masuk university al azhar, khas kepada penuntut ilmu menghadiri kelas-kelas pengajian. Sekarang ia dijaga dengan baik oleh anaknya. Kami ketika pengajian dilayan seperti tetamu. Dijamu air dan sedikit snek semasa pengajian. Jasa sheikh ismail al adawi dan keluarga sentiasa dihargai dan dingati oleh sheikh taha rayyan dalam setiap doa penutup. Dan kami turut mengaminkan. Memang patutpun, tidak banyak yang berhati mulia seperti mereka.

Salah satu perkara yang sering mengamit ingatan mengenai kelas ini ialah muqaddimahnnya. Muqaddimahnya sama sahaja tapi cukup bermakna. Sheikh setiap kali kelas akan berkata selepas selawat dan salam kepada junjungan besar nabi s.a.w;

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين. فقد فقّه الله في دينه امامنا مالكاً فاخرج لنا من هذا الدين اطيب الثمرات. ومن اطيب هذه الثمرات هذا الكتاب الجليل المسمى بمؤطاء امام مالك. نرجو الله سبحانه وتعالى ان ينفعنا به كما نفع به اسلافنا....اقراء يا بيب.

Aduh! Teringatnya…ibarat terakhir dari muqaddimah ialah isyarat dari sheikh kepada muqri’ memulakan bacaan. Kebanyakan system pengajian di sana menggunakan seorang muqri’ yang terpilih dikalangan pelajar, membaca satu petikan kemudian al sheikh mensyarahkan apa yang ingin diperkatakan. Sekiranya tidak, muqri’ tadi akan terus membaca. Begitulah dari awal kitab hingga akhir.

Muqri’ pengajian muwatta’ pada awalnya beberapa orang pelajar Libya. Sejak kedatangan syarif, beliau mengambil alih tugas ini. Si syarif ini nama asalnya Abdullah hijru. Berasal dari afrika tengah. Umurnya muda setahun dari saya. Tapi dia symbol kepada pengajian pondok di benua afrika yang mementingkan hafalan. Ciri pengajian pondok afrika ini telah menarik perhatian ramai orang. Cukuplah untuk pembaca mengetahui bahawa sheikh hamzah yusuf yang terkenal di Amerika merupakan lulusannya. Beliau telah menempuhi ranjau yang hanya kita dengar dalam kisah-kisah ulama terdahulu semata-mata untuk menuntut dengan al allamah murabit hajj di pasentrennya. Yang menarik sheikh hamzah ke sana ialah ciri hafalan ini. ceritanya di sini. mesti baca. ia memperkenalkan etnik ilmu yang masih kekal dengan ciri tradisional. 

Kami memanggilnya syarif kerana dia berketurunan rasulAllah s.a.w. keluarganya adalah keluarga ilmu. Beliau datang ke azhar dengan quran dan muwatta’ tersemat di dadanya. Ini belum dikira maklumat-maklumat lain seperti kata-kata ulama, syair dan matan-matan ilmu yang sentiasa bermain di bibir. Walaupun kami berkawan, tapi dalam mazhab ‘’bermusuh”. Ada sahaja perkara yang diperdebatkan. Lain kali ceritanya.

Setelah sembilan tahun kelas muwatta’ bermula, akhirnya pada 6/7/2008 kitab tersebut dikhatamkan. Yang menyedihkan, saya tidak sempat dengan hari bersejarah itu sebagaimana juga dengan hari permulaannya. Namun, saya berdoa agar diberi kesempatan bertandang di ‘majlis’ tuan pengarangnya nanti. Amiin…

Seperti yang saya isyaratkan sebelum ini, maulana al sheikh juga mempunyai kelas dalam syarahan kitab subulus salam. Ia diadakan di anjung atrak. Di masjid al azhar dahulunya terdapat ruangan-ruangan khusus kepada beberapa kumpulan ‘etnik’. Ada ruangan untuk pelajar dari syam, dari turki bahkan dari indonesia. Semuanya dinamakan ruwaq. Ruwaq atrak adalah untuk pelajar dari turki ke azhar mempelajari ilmu agama. Bahkan dikatakan di tingkat atas masjid al azhar terdapat asrama pelajar. Begitulah masjid al azhar dahulu. Kini ia tinggal kenangan. Bahkan ruwaq(anjung) indonesia sekarang ini telah menjadi pos polis. Siapa yang melalui belakang masjid azhar, tengok-tengoklah dinding masjid yang dekat dengan pos polis. Pasti akan jumpa perkataan ruwaq indonisi tertulis dengan habuk meliputinya. Tapi awas, jangan sampai tertangkap plak! Sapa tak kenal polis mesir…

Pengajian subulus salam berlangsung beberapa tahun. Agaknya seusia kelas muwatta’. Tapi ia terbantut beberapa kali. Kitab tersebut sempat saya dengar jilid 3 dan sedikit dari jilid 4, kemudian hilang tanpa berita. Tak tahulah kisahnya sekarang. Sekiranya sheikh menyambungnya tentu mengambil masa tidak lama. Kitab tu memangnya 4 jilid sahaja. Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan perbandingan mazhab dan fiqh maliki, sememangnya kitab ini amat sesuai. Beberapa kali saya mendengar tuan sheikh membetulkan nukilan-nukilan mazhab yang dimuatkan. Bukan sahaja mengenai mazhab maliki, bahkan mazhab lain juga tidak terlepas dari pandangan beliau.

Kelas lain bawah kendalian beliau ialah syarahan kitab fiqh maliki. Saya tidak tahu banyak mengenainya. Sepertimana yang saya sebut, saya pernah hadir sekali sahaja. Itupun kerana syarif mengajak. Katanya, sheikh buat jamuan makan!!

Kelas ini dianjurkan di masjid dirdir terletak dalam lorong-lorong belakang masjid al azhar. Lorong-lorong ini jangan cuba-cuba terokai kalau tanpa teman. Takut-takut tak jumpa jalan keluar!

Nama masjid sempena makam imam dirdir yang berada di dalamnya. Ia terletak di belakang kiblat. Imam dirdir merupakan tuan kitab yang disyarah oleh maulana. Mungkin kerana ingin mengambil berkat ia diadakan disitu. Imam masjid salah seorang dari anak murid maulana ali jumaah, sheikh imad dirdir. Begitulah nama glamornya.

Kelas lain yang saya hadir ialah kelas nailul autar. Ia dibuat setiap rabu antara maghrib isya’ di sebuah surau bawah rumahnya. Perjalanan ke sana hampir sejam termasuk masa menunggu bas. Kelas ini agak berbeza. Kebanyakan hadirin nampak macam geng salafi. Tapi rasanya bukan salafi yang selalu kita dengar. Mereka ada kelainan tersendiri. Entahlah, susah nak komen…

Ada lagi kelas lain kepunyaan maulana. Seperti kelas khas untuk wanita dll. Tapi pengajian-pengajian luarnya yang asas sepertimana yang saya ceritakan di atas. Ini selain kelas rasmi di universiti al azhar.

Ini sahaja yang mampu saya bawakan mengenai maulana sheikh taha rayyan. Dan saya sememangnya mengakui tulisan ini dan sebelumnya, masih kecil berbanding keperibadian, ilmu, akhlak dan sumbangan yang saya mengambil manfaat selama mengenalinya. Masih tidak terbalas dan tidak mungkin boleh terbalas. Allah s.w.t jualah tidak akan menyia-nyiakan balasan orang yang berbuat kebaikan. Saya makhluknya hanya mampu berbuat sekadar yang diinginiNya. Tapi saya ingin rahmatNya. Rahmat yang turun tatkala kisah para solihin disebut-sebut. (ابن عيينة: عند ذكر الصالحين تنزل الرحمة )Moga hidup saya dengan kisah ini, dan hidup para pembaca sekalian dirahmati Allah s.w.t.

Kejarlah rahmatNya. Rahmat yang membawa ahli syurga ke syurga. Bukannya amalan mereka.

Wallahu a’alam bis sawaab…

3 ulasan:

  1. salam ustaz.
    terima kasih kerana menulis sedikit ( sebenarnya banyak bagi saya ) tentang syeikh tahaa. Saya sempat sekali mengikuti kelas subulus salam beliau.. lainnya kelas dr ali jum'ah. kalau ada syeikh yg lain lagi dapat dituliskan.. kan baik juga..seba saya pun sama cam ust..x pergi pun ke mana2 tempat pelancongan.. rindu jugak rsanya nak g mesir balik.

    BalasPadam
  2. wasalam
    berbunga hati saya bila ada yang sudi berkongsi kata-kata di sini. terima kasih. ada jgk plan nak tulis kisah para guru-guru lain yang saya kenali, tapi masa saya agak terbatas. dicampur dgn rasa malas. doakan saya berkesempatan membalas budi mereka dgn ingatan dlm tulisan..walaupun ia tidaklah sbrapa.

    BalasPadam