Sabtu, Disember 05, 2009

Solat zohor tidak wajib?

Sejak saya balik dari luar negara, kerap kali saya membaca tulisan-tulisan yang agak pelik berkenaan dengan urusan agama. Ada yang salah pada pandangan si kerdil ini -wallahu ‘a‘lam- juga ada yang betul tapi tidak kena dari sudut cara dan persembahannya. Tidak kurang juga yang tidak seberapa tepat walaupun ia tidaklah dikategori sebagai salah.

Sempena hari raya aidil adha baru-baru ini, saya ada terbaca artikel yang menyebut tentang hukum hakam yang berkaitan dengan hari raya yang disambut pada hari jumaat. Ia simple dan mudah difahami, tetapi terdapat perkara yang membuat dahi ini berkerut. Apabila ia seolah-olah memberi kekuatan kepada sebuah pendapat ‘syaz’; kewajipan fardu zohor tergugur dengan solat sunat aidil adha. Katanya ia bertepatan dengan zahir hadis.

Walaupun ulasan ini agak lewat dan tidak lagi releven dengan berlalunya aidil adha beberapa hari lalu, tetapi dari sudut lain, ia tetap valid sesuai dengan sifat ilmu pengetahuan yang tidak pernah basi dan reput, walaupun tuannya telah melangkah kaki kanannya ke syurga.

Pandangan ulama mengenai masalah
Isu ini bermula apabila hari raya aidil fitri atau adha jatuh pada hari jumaat. Sebagai muqaddimah, diperturunkan pendapat ulama berkaitan setelah disimpulkan oleh imam ibnu taimiyyah dalam majmu’ fatawanya.

Katanya: apabila berhimpun hari jumaat dan hari raya, maka di dalamnya terdapat tiga pendapat para fuqaha.

Pertama. Jumaat wajib kepada orang yang telah solat hari raya ataupun tidak. Ia pendapat imam malik dan selainnya.

Kedua. Jumaat gugur dari orang awam yang berada diluar kota, sepertimana yang diriwayatkan dari saidina uthman bin ‘affan r.a, bahawa beliau setelah selesai solat raya telah memberi keizinan kepada orang-orang kampung pendalaman untuk meninggalkan jumaat. Imam syafi’I mengikuti pandangan ini.

Ketiga. Sesiapa yang telah solat raya gugur kewajipan jumaat. Tetapi imam perlu mendirikan solat jumaat supaya mana-mana orang yang ingin hadir jumaat dapat menghadirinya. Ini ada pandangan imam ahmad dan lain-lain berdasarkan beberapa hadis. Ibnu taimiyyah telah mentarjihkan pendapat ini.(majmu’ fatawa: juz 24, hal 211-212)

Pandangan imam ata’ ibni abi rabah
Terdapat pendapat keempat yang tidak disebut oleh imam ibnu taimiyyah-dan sememangnya ia wajar tidak dihighlightkan untuk tatapan umum-ia dinukil dari imam ‘ata ibnu abi rabah; solat zohor turut sama gugur pada hari tersebut sekiranya telah solat raya.(awsat ibnu munzir: juz 4 hal 290)(bidayah al mujtahid: juz 1 hal 219)


Ia berbeza sedikit dari pendapat ketiga, iaitu berlaku penambahan, setelah gugur kefarduan jumaat solat zohor juga turut sama gugur.

Mazhab hambali secara keseluruhanya berpendapat solat zohor wajib dikerjakan setelah jumaat tidak lagi dituntut.(al iqna’: juz 1 hal 196)(al durar al saniyyah: juz 5 hal 50)(al syarhul kabir: juz 2 hal 194)(hasyiah al raudh al murbi’: juz 2 hal 467)

Pandangan keempat ini adalah milik imam ‘ata ibni abi rabah, dikatakan juga ia pendapat ibnu zubair, ibnu abbas, dan lain-lain. Tetapi nisbah kepada selain ‘ata dipertikai kerana tiada kata yang jelas terbit dari mulut mereka. Semuanya andaian kerana ‘ata bersandar kepada mereka terutama ibnu zubair dan ibnu abbas r.a. pencerahan seterusnya akan menyingkap maksud saya ini.

Imam ‘ata ibni abi rabah dalam fatwanya berdalilkan apa yang beliau lalui ketika zaman pemerintahan ibnu zubair. Kata ‘ata:

اجتمع يومُ الجمعة ويوم فطر على عهد ابن الزُبير فقال: عيدان اجتمعا في يوم واحد فجمعهما جميعاً فصلاهما ركعتين بُكرةً لم يَزدْ عليهما حتى صلّى العَصر

Athar ini diriwayatkan oleh abu daud, al nasa’I, hakim, abdur razzaq dan ibnu abi syaibah dengan lafaz yang hampir sama.

Penyokong mazhab ini.
Setelah berkurun lama fatwa ini dikeluarkan, datang imam al syaukani(1250h) mentarjihkannya dalam kitabnya yang masyhur nailul awtar dalam bab بَابُ مَا جَاءَ فِي اجْتِمَاعِ الْعِيدِ وَالْجُمُعَة.tulisnya, zahirnya(athar) ibnu zubair tidak solat zuhur. Ini menunjukkan solat jumaat apabila gugur dengan salah satu sebab dari sebab-sebab yang membolehkan demikian, tidak wajib kepada orang yang gugur kewajipan jumaat untuk menunaikan solat zuhur.

Kemudian berkata lagi, yang zahir ia pendapat orang yang berkata, solat zohor adalah asal. anda tahu bahawa apa yang difardukan oleh allah kepada hambanya pada hari jumaat adalah solat jumaat. Mewajibkan solat zuhor kepada yang meninggalkan jumaat dengan uzur atau tanpa uzur memerlukan dalil. Dan tiada dalil yang boleh dipegang menunjukkan demikian setakat yang aku tahu.

Beliau juga menyatakan bahawa pandangan yang mengatakan bahawa ibnu zubair dalam athar tersebut solat jumaat adalah keterlaluan dan dibuat-buat. Juga turut menyertai al syaukani ialah sheikh sayyid sabiq dan al maghribi sebelumnya dalam syarah bulughul maram.

Ini juga diikuti oleh beberapa penulis kecilan pada zaman ini, seperti penulis ahkam al ‘idaini.

Reaksi ulama terhadapnya.
Mazhab ata’ ini telah mendapat respon yang agak keras dikalangan ulama-ulama berbanding dengan mazhaz-mazhab lain dalam masalah yang sama.

Al hafiz ibnu abdil bar, seorang muhadith dan faqih dalam mazhab maliki telah menyatakan, bahawa pandangan ibnu zubair dan ata’ ini adalah pandangan yang mungkar, diingkari oleh para fuqaha seluruh bandar dan tiada seorangpun dikalangan mereka berkata demikian. Bahkan di sisi kumpulan ulama, ia salah dan bukan berada di atas asas yang boleh diambil kira.(al istizkar: jid 2 hal 384)beliau juga di tempat lain menyifatnya sebagai pandangan yang jelas rosak dan salah, diketepikan serta tidak boleh dipegang.(tamhid: juz 10 hal 268)ia syaz dan takwilnya jauh(tamhid: juz 10 hal 285)

Imam nawawi mengaggap ia salah satu dari pandangan-pandangan pelik (gharaaib) imam ata’ ibni abi rabah(tahzib al asma’: terjamah ata’ ibni abi rabah)

Kata al ‘azim abaadi, ini adalah pandangan yang batil(`aunul ma‘bud: hadis 906)

Ini yang sempat saya jumpa di tulisan ulama secara terangan. Ada komentar disebut secara umum dengan nada yang lebih lembut tanpa dinisbahkan kepada ata’ tapi ia akan memakan helaian jika dinukil di sini. Rasanya cukuplah apa yang ada. Tujuannya hanya untuk memberi gambaran mengenai kedudukan dan nilainya secara umum dalam dunia ijtihad.

Munaqasyah ulama terhadap mazhab ata’.
Sebelum itu, saya kerat-keratkan dalil-dalil ata’ dalam keputusannya beserta para penyokongnya. Hujah mereka boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian.

1. Tindakan ibnu zubair sepertimana yang diriwayatkan oleh imam ata’ sendiri. Begitu juga sokongan dari ibnu abbas dan pengakuan ibnu zubair bahawa ibnu umar juga berbuat demikian.

2. Solat jumaat adalah asal. Ini adalah pandangan imam syaukani secara tidak langsung.

3. Tiada dalil yang mewajibkan solat zohor pada hari jumaat sebagai ganti solat jumaat. Ia juga diutarakan dengan jelasnya oleh imam syaukani.

Athar-athar yang menceritakan perbuatan ibnu zubair tidak tidak menunjukkan gugurnya solat zohor, bahkan zahirnya ialah kebenaran untuk tidak menyertai solat jumaat. Ini kerana menyertai dua perhimpunan pada hari yang sama satu kesukaran.(tamhid: hadith 41)

bahkan berkemungkinan ibnu zubair telah melakukan solat zohor di rumahnya. Apa yang berlaku ialah andaian dari ata’ setelah melihat ibnu zubair tidak keluar rumah mengimami mereka solat zohor. Kemungkinan ibnu zubair solat zohor dirumah amat besar kerana seseorang jika tidak solat di masjid dia akan solat di rumah. Lebih menguatkan kemungkinan ini hadith yang diriwayatkan oleh ibnu abi syaibah(no. 5892) bahawa ibnu zubair solat zohor.kata ibnu abi syaibah:
حَدَّثَنَا هُشَيْمٌ ، عَنْ مَنْصُورٍ ، عَنْ عَطَاءٍ ، قَالَ : اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي عَهْدِ ابْنِ الزُّبَيْرِ فَصَلَّى بِهِمَ الْعِيدَ ، ثُمَّ صَلَّى بِهِمَ الْجُمُعَةَ صَلاَةَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا

Para ulama juga telah memberi kemungkinan lain. Bahawa ibnu zubair telah solat jumaat pada hari itu dan solat sunat hari raya dihimpun bersama. Kemungkinan berdasarkan dua perkara. Pertamanya, dalam sesetengah riwayat menyatakan bahawa ibnu zubair telah melewatkan solat pada hari tersebut sehingga siang telah tinggi (tamhid: hadith 41). Lafaz hadith ialah:
اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ ابْنِ الزُّبَيْرِ فَأَخَّرَ الْخُرُوجَ حَتَّى تَعَالَى النَّهَارُ ثُمَّ خَرَجَ فَخَطَبَ فَأَطَالَ الْخُطْبَةَ ثُمَّ نَزَلَ فَصَلَّى

Hadith dengan lafaz ini diriwayatkan oleh al nasa’I, abu daud, musaddad, al marwazi dan lain-lain. Waktu solat jumaat ini berdasarkan pendapat jumaat boleh dikerjakan sebelum waktu zohor. Kata al khattabi dalam ma‘alim as sunan, adapun perbuatan ibnu zubair ia tidak wajar disisiku kecuali berdasarkan mazhab yang berpendapat mendahulukan solat jumaat sebelum gelincir matahari. Begitu juga pendapat ibnu taimiyyah (datuk) dalam al muntaqa.

Sebagai makluman, perbuatan zubair ini difahami dengan konsep diatas oleh seluruh mazhab hambali. Mereka mengatakan, sesiapa yang mendahulukan solat jumaat dengan mendirikannya dalam waktu solat raya maka ia mencukupinya dari solat raya dan zohor berdalilkan perbuatan zubair diatas. Tetapi sekiranya dia hanya solat raya wajib menunaikan solat zohor. Rujuk kitab-kitab mazhab hambali seperti al mughniy, al kafi, al syarhul kabir, syarah muntahal iradaat dan lain-lain.

Perkara kedua ialah ibnu zubair secara terangan dalam hadith-hadith berkaitan berkhutbah dahulu kemudian solat. Tertib ini ialah tertib solat jumaat bukan solat raya.

Mengambil kira dua perkara diatas, saya merasakan tuduhan al syaukani bahawa kemungkinan ini adalah dibuat-buat adalah dibuat-buat sebenarnya. Ini kerana dua perkara ini ambilan zahir hadith dan andaian terhadap ibnu zubairlah sebaliknya.

Dalil kedua dan ketiga pula jika hendak dirungkai satu persatu akan meleret. Cukuplah saya membawa hujahan balik oleh tuan subulus salam. Sesungguhnya, tulisannya dalam perkara ini panadol yang cepat melegakan.

Katanya, jelasnya bahawa ata’ telah menceritakan bahawa ibnu zubair tidak keluar untuk solat jumaat.ia bukanlah nas yang pasti(qat’i) bahawa dia tidak solat zohor dirumahnya. Oleh itu, penegasan bahawa mazhab ibnu zubair; gugur solat zuhur pada hari jumaat yang jatuh pada hari raya, dari orang yang telah solat raya kerana riwayat ini tidaklah benar, kerana berkemungkinan dia telah solat zohor dirumahnya.

(saya berkata: begitulah juga jawapan kepada dakwaan beberapa sahabat berpendapat demikian. Semuanya adalah andaian yang tidak jelas jika kita menulusuri riwayat-riwayat dari mereka. Ibnu ibdul bar telah menukilkan riwayat berbabit dan bolehlah lihat sendiri kebenaran ini.(tamhid: hadith 41)

Bahkan pada kata-kata ata’, bahawa mereka solat zohor sendirian menunjukkan dia sendiri tidak berkata gugur solat zohor. Tidak boleh sama sekali dikatakan bahawa maksudnya, mereka solat jumaat sendirian kerana jumaat tidak sah kecuali berjemaah secara ijmak ulama.

Kemudian, pendapat yang menyatakan bahawa asal pada hari jumaat ialah solat jumaat dan zohor adalah gantiannya, pendapat yang tidak kuat. bahkan zohorlah yang asal difardhukan pada malam isra’, dan jumaat kefardhuannya terkemudian. Juga, sekiranya terlepas jumaat (maksudnya, pada hari jumaat yang biasa) wajib menunaikan zohor secara ijmak. Tentunya zohor adalah gantiannya.

Saya kata: ibnu abdul bar juga telah mengemukakan ijmak ini -ata’ dan ibnu zubair termasuk menyetujuinya- sebagai kias kepada permasalahan ini. Itu pun katanya, jika pendapat ini wajar diberi perhatian. Bagaimanakah sekiranya ia adalah pendapat yang syaz!?

Nah, ulasan yang saya kira lebih dari cukup. Pencinta kebenaran rasanya tidak memerlukan sepanjang ini. Yang terlebih hanya lauk pauk. Makan nasi dengan sikit kuah bagi yang lapar sudah berselera dan mengeyangkan.

Kesimpulannya senang, zahir hadith pun tidak menyebelahinya apatah sudut lain.


Wallahu ‘a’lam bis sawaab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan