Ahad, Januari 10, 2010

moga terkena tempias rahmat-Nya

alhamdulillah...alhamdulillah. lautan syukur yang tidak berpantai kepada MU. di kala Kau tidak memerlukanku, Kau perkenan menunjuk jalan menuju-Mu. di kala Kau tiada berkepentingan denganku Kau mencemar duli memimpin ku kepada Mu.

malam tadi merupakan salah satu hari bahagia dalam hidup al faqir. setelah sekian lama bergelumang dengan kotoran dunia, sibuk mengejar nama, duit dan tugasan yang tiada penyudahnya, akhirnya dapat bertandang di taman syurga walaupun sangat relatif singkat berbanding masa dan ruang yang diluangkan untuk dunia.

setelah makan sedikit 'langsat' (baca: sesat) akhirnya sampai juga di masjid al falah yang terkenal di malaysia ini dengan majlis dengan para ulama serata dunia. sebelum maghrib saya dan isteri tiba dengan kemudahan parking yang tak diduga. syukur buat-Mu sekali lagi.

setelah mendengar zikir, alunan qasidah dan sedikit kata-kata dari dif jemputan dari singapura, indonesia dan negara kanggaru, selepas insya' wajah-wajah berseri dengan giliran habib umar menyampaikan ucapannya.

benar katanya. Allah memberi hidayat kepada kami untuk datang ke sini agar menerima tambahan hidayat-Nya. memberi taufiq agar kami mendapat taufiq seterusnya.

di tempat kerja saya banyak kali mendengar ilmiah, akademik, sarjana dan entah apa lagi yang sewaktu dengannya. tapi ilmu yang membawa keinsafan, taubat, penyesalan terhadap kesalahan kecil atau besar hanya ada pada manusia yang menjadi pilihan Allah. habib umar salah seorang darinya. begitulah para guru saya di mesir dahulu. yang meletakkankan mereka istimewa di hati ini bukanlah akademik, ilmiah semata-mata, tapi takwa dan adab serta amalan.

imam taqiuddin al subki sebelum memulakan penulisan, melengkapi apa yang ditinggalkan oleh imam nawawi dalam syarah muhazzab oleh imam al syirazi, beliau telah menggariskan kelebihan imam nawawi sehingga mampu menulis kitab majmu' sedemikian rupa. katanya dalam muqaddimah tulisannya dengan sedikit ulasan dari saya. 

imam nawawi telah diberi waktu yang lapan dan hati yang  kosong. beliau tidak ada kesempatan untuk urusan dirinya dan keluarga. perkata ini jelas sekiranya kita pernah membaca perjalanan hidupnya yang bergantung kepada jarayal madrasah, iaitu makanan asrama yang disediakan di 'pondok' beliau tinggal. tambahan lagi beliau tidak pernah berkahwin. kata setengah ulama, ilmu akan disembelih di celah paha perempuan.

beliau juga berpeluang memiliki kitab-kitab yang membantunya mengkaji dan meneliti pendapat ulama-ulama terdahulu. kata al subki, keadaan tempatnya memudahkan demikian.

yang terakhir: niat yang baik, warak dan zuhud yang bersangatan dan amalan salih yang menyinari. imam nawawi dalam hal ini memperolihi bahagian yang sempurna. bahkan seolah-olah disepakati oleh seluruh ulama yang menulis tentangnya, beliau seorang wali Allah. imam al sakhawi dalam tarjamahan imam nawawi meletakkan beliau di tempat qutubul auliya'.

malam tadi ramai yang menangis dan meratap bila al habib berdoa. sampai hadirin terbangun berdiri. tapi saya tak mampu. lautan manusia disurami dengan penyesalan dan harapan kepada Allah. disebelah saya seorang pemuda berbaju t shirt dan seluar jeans meratap menangis-nangis mengaminkan doa. rahmat Allah benar-benar turun. moga saya turut terkena tempiasnya.

disini saya kepilkan u tube merakam sebahagian suasana semalam. alhamdulillah...segala syukur buat-Mu.

suasana di penghujung majlis...bersama al habib umar bin hafez

Tiada ulasan:

Catat Ulasan