Sabtu, Januari 23, 2010

isu sanad dalam qira'at dan hadis


semalam sebelum kelas, saya berkesempatan berbual-bual dengan orang 'atasan' dari jabatan al quran dan al sunnah. banyak topik yang disentuh. berbual dengannya mengingatkan saya kepada salah seorang rakan di mesir -rasanya dia masih lagi di sana- yang suka menyentuh isu-isu yang berkaitan dengan fiqh dan bahasa arab. kadang kala pasal hadis.

bermula dari isu taujih qira'at, rasam al quran dan taujihnya sehingga berakhir dengan topik pertikaian mutawatir dalam sanad qira'at. di penghujung perbincangan, kami sampai kepada satu hipotesis, cara ulama qira'at dalam masalah sanad ada perbezaan dengan rentak ulama hadis. siap sekali dengan tajuk buku atau artikel: qira'at dan hadis: analisis menurut ilmu mustalah(perbezaan dan persamaan) :-)

setelah selesai kelas, saya cuba-cuba search dalam internet dan syamilah berkenaan dengan isu tersebut. ada satu tajuk yang mungkin boleh diketengahkan sebagai permulaan dalam mengenali isu seputarnya.

untuk melihat persamaan dalam qira'at dan hadis, rasanya tidaklah sukar kerana keduanya berasaskan kepada tapak yang sama, iaitu sanad. walaupun ada ulama yang menyebut, asas dalam penerimaan sesuatu qira'at ada tiga: sanad, rasam dan bahasa arab. tetapi menurut muhaqqiqin dalam ilmu qira'at, sanad adalah asas. jika sanadnya mencapai darjah yang dikehendaki maka ia terus diterima. rasam dan bahasa arab hanyalah sekunder. sanad adalah segalanya.

mencari perbezaan mungkin sukar dan jarang. jesteru, saya ingin menengahkan satu isu yang menjadi pertikaian antara kedua-dua entiti ini. isu tersebut ialah bertakbir di antara surah al duha hingga akhir ketika khatam. dalam isu ini ada beberapa perbezaan yang menunjanginya.

ia bermula dengan hangatnya apabila syeikhul islam ibnu taimiyyah menyebut dalam majmu' fatawanya. kata beliau (j17 ms130):

وَالتَّكْبِيرُ الْمَأْثُورُ عَنْ ابْنِ كَثِيرٍ لَيْسَ هُوَ مُسْنَدًا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يُسْنِدْهُ أَحَدٌ إلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إلَّا البزي وَخَالَفَ بِذَلِكَ سَائِرَ مَنْ نَقَلَهُ فَإِنَّهُمْ إنَّمَا نَقَلُوهُ اخْتِيَارًا مِمَّنْ هُوَ دُونَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَانْفَرَدَ هُوَ بِرَفْعِهِ وَضَعْفِهِ نَقَلَهُ أَهْلُ الْعِلْمِ بِالْحَدِيثِ وَالرِّجَالِ مِنْ عُلَمَاءِ الْقِرَاءَةِ وَعُلَمَاءِ الْحَدِيثِ كَمَا ذَكَرَ ذَلِكَ غَيْرُ وَاحِدٍ مِنْ الْعُلَمَاءِ

"dan takbir yang dinukilkan dari ibnu kathir tidak bersandarkan dari nabi s.a.w. ia tidak disandarkan oleh seorang pun kepada nabi s.a.w kecuali al bazzi dan ia berbeza dengan semua yang menukilkannya(takbir). sesungguhnya mereka menukilkannya secara pilihan daripada orang yang selepas nabi s.a.w. al bazzi sahaja yang menaikkan kepada nabi, dan didaifkan nukilannya oleh ilmuan hadis dan rijal dari ulama qira'at dan ulama hadis sepertimana yang disebut oleh bukan seorang dari ulama."

beliau juga ada menyebut dengan nada yang agak keras:

"apabila mereka membaca bukan dengan qira'at ibnu kathir, meninggalkan takbir adalah lebih baik bahkan ia disyariatkan dan disunatkan. sesungguhnya imam-imam dari kalangan qurra' tidak bertakbir pada awal surah dan akhir surah....

barangsiapa yang mengatakan takbir daripada al quran, maka dia adalah sesat dengan sepakatan ulama. wajib diminta supaya bertaubat. jika tidak dia dibunuh....barangsiapa yang meletakkan orang yang meninggalkan takbir sebagai ahli bid'ah atau menyalahi sunnah atau berdosa, sesungguhnya dia dekat kepada kufur berbanding islam dan wajib mengenakan hukuman ke atasnya. bahkan, sekiranya dia masih bertegas selepas diberi hujjah yang jelas, wajib dibunuh." (j13 ms419)

isu ini timbul apabila ramai ahli quran yang bertakbir apabila sampai khatam quran, dicelah-celah surah bermula dari surah al duha hingga akhir quran. apabila disemak hadis yang berkaitan, mereka tidak menjumpai satu hadis dari nabi mengenainya, kecuali beberapa hadis yang kesemuanya berlegar pada riwayat abu al hasan ahmad bin muhammad bin abdullah al bazzi. tetapi al bazzi ini di sisi ulama rijal seperti abu hatim al razi, al 'uqaili dan diikuti oleh al zahabi sebagai daif.

daripada kata-kata ibnu taimiyyah, kita mendapati seolah-olah amalan ini merupakan pilihan para qurra atau dengan kata lain, ijtihad mereka. begitu juga kata ibnu uthaimin dalam fatawa islamiyah. bahkan dengan jelas dia berkata: yang benar, ia bukan sunnah.

hadis al bazzi ini terdapat dalam mustadrak al hakim dengan lafaz:

"حدثنا أبو يحيى محمد بن عبد الله بن محمد بن عبد الله بن يزيد ، المقرئ الإمام بمكة في المسجد الحرام ، ثنا أبو عبد الله محمد بن علي بن زيد الصائغ ، ثنا أحمد بن محمد بن القاسم بن أبي بزة ، قال : سمعت عكرمة بن سليمان ، يقول : قرأت على إسماعيل بن عبد الله بن قسطنطين ، فلما بلغت والضحى ، قال لي : « كبر كبر عند خاتمة كل سورة ، حتى تختم » وأخبره عبد الله بن كثير أنه قرأ على مجاهد فأمره بذلك ، وأخبره مجاهد ، أن ابن عباس أمره بذلك ، وأخبره ابن عباس ، أن أبي بن كعب أمره بذلك وأخبره أبي بن كعب أن النبي (صلى الله عليه وسلم أمره بذلك  (هذا حديث صحيح الإسناد ، ولم يخرجاه

ibnu abi bazzah ialah imam al bazzi. hadis yang sama diriwayatkan oleh al fakihi dalam akhbar makkah (no. 1744), imam al baihaqi dalam syu'abil iman (no. 1913,1914) imam al baghawi dalam tafsirnya (j8 ms460).

selain ibnu taimiyyah, kedapatan beberapa ulama lain yang mengdaifkan hadis ini. antaranya al zahabi dalam al siyar (j12 ms51) dengan katanya: ia hadis mungkar. ibnu kathir dalam tafsirnya juga telah berkata: ini adalah sunnah yang ada pada abu al hasan ahmad bin muhammad bin abdullah al bazzi sahaja dari anak al qasim ibnu abi bazzah.

semua yang bercakap menentang amalan ini bersandarkan kepada hadis al bazzi. seperti ibnu taimiyyah, bakar abu zaid dalam (مرويات دعاء ختم القرآن), ibnu muflih dalam (الآداب الشرعية), ibnu uthaimin dalam fatawa islamiyah dll.

namun begitu, perlu dijelaskan bahawa al bazzi walaupun daif dalam hadis tapi beliau merupakan hujjah dalam qira'at. ini sepertimana yang dijelaskan oleh ibnu muflih, al safayini dan zarakli. bahkan disifatkan oleh al zahabi dalam al 'ibar: (al bazzi) adalah lemah dalam hadis hujjah dalam al quran. kata al zahabi lagi dalam mizan 'itidal (j1 ms144) dan ibnu hajar dalam lisan mizan: imam dalam qira'at thabat dalamnya.

dari sini kita melihat perbezaan yang wujud dalam sanad qira'at dan hadis. penyataan ulama di atas walaupun tidak menyebelahi al bazzi, tapi beliau dalam qira'at adalah thiqah. sanad yang diriwayatkan oleh para qurra' dalam masalah bertakbir, disisi mereka cukup masyhur dan juga sahih pada pandangan mereka. amalan bertakbir adalah thabit dan digunapakai, bahkan dalam al nasyr ia bukan sahaja di sisi ibnu kathir bahkan semua qurra'. ia telah diwarisi dari satu generasi ke generasi secara talaqqi.

disini kita perlu membezakan antara sanad para qurra' dan sanad para ahli hadis. dengan perkataan yang lebih mudah dan straight to the point, sanad al bazzi ini diterima kerana ia berkaitan dengan al quran yang menjadi kepakarannya. jika dalam hadis, beliau mungkin boleh dipertikaikan seperti riwayatnya dalam hadis أكثروا ذكر هاذم اللذات dan الديك الأبيض(al mizan j1 ms144). rujuk juga perbahasan ini dalam التكبير عند ختم المصحف الشريف: مفهومه وأحكامه بين القراء والفقهاء oleh dr. muhammad khalid mansur dari uni. jordan.

ini bukan benda baru, ini juga berlaku pada imam abu umar al asadi hafs bin sulaiman. ditajrih dengan teruk dalam bidang hadis tapi dipercayai dalam qira'at (al kasyif j1 ms341)

bahkan dalam periwatan hadis sendiri terdapat perbezaan bidang dan takhassus. lihat apa yang ulama rijal kata mengenai imam ismail bin 'ayyash. beliau dalam periwayatan hadis ahli syam adalah dipercayai. tetapi hadis ahli iraq dan hijaz riwayatnya bermasalah. (al tahzib j1 ms282) lihat juga perkataan imam ahmad mengenai farj bin fadhalah (al mizan j3 ms344)

inilah salah satu perbezaan yang saya dapati wujud dalam sanad qira'at dan hadis. iaitu perbezaan yang melibatkan ilmu jarh wa ta'dil. mungkin ada lagi. yang terbayang di fikiran saya sekarang, perbezaan yang mungkin juga wujud dalam status sesebuah qira'at dan hadis. ini ada kaitan juga dengan hadis al bazzi. imam al jazari dalam al nasyr menyatakan amalan bertakbir seolah-olah mencapai darjat mutawatir. bagi ulama hadis mungkin lain ceritanya.

nota penting
bicara di atas perdasarkan pertimbangan ulama hadis yang menyatakan hadis al bazzi daif kerana kedudukan imam bazzi di sisi mereka. tetapi pengkaji kontemporari telah menjumpai satu mutaba'ah yang cukup kuat untuk hadis ini. iaitu mutaba'ah imam syafie. ia diriwayatkan oleh abu ya'al al khalili dalam kitab al irsyad fi ma'rifah ulama al hadis (no 83). katanya: 

حدثنا جدي ، حدثنا عبد الرحمن بن أبي حاتم ، حدثنا محمد بن عبد الله بن عبد الحكم ، حدثنا الشافعي ، قال : قرأت على إسماعيل بن عبد الله بن قسطنطين ، قال : قرأت على عبد الله بن كثير ، وقرأ عبد الله بن كثير على مجاهد ، وقرأ مجاهد على عبد الله بن عباس ، وقال عبد الله بن عباس : قرأت على أبي بن كعب ، فلما بلغت والضحى قال لي : يا ابن عباس ، كبر فيها ، فإني قرأت على رسول الله صلى الله عليه وسلم « فأمرني أن أكبر فيها إلى أن أختم  

mungkin ini sebab mengapa imam syafie menyatakannya sebagai sunnah dan meninggalkannya sebagai meninggalkan sunnah. sekaligus memberi kefahaman apa yang dikatakan oleh ibnu kathir dalam tafsirnya: tetapi al sheikh syihabuddin menceritakan dalam syarah al syatibiyyah dari al syafie, beliau mendengar seorang lelaki bertakbir dengan takbir ini dalam solat. lalu dia berkata kepadanya: kamu telah membuat kebaikan dan menepati sunnah. (kata ibnu kathir) ini menunjukkan kesahihan hadis ini (hadis al bazzi)


wallahu'a'lam bis sawab..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan